PENDAHULU Liga Perdana Inggeris, Manchester City tewas 0-1 kepada Everton, sekali gus membenarkan pencabar terdekatnya, Manchester United yang menang 2-0 ke atas Stoke kini mengikat 54 mata selepas kedua-dua pasukan beraksi untuk perlawanan ke-23, awal pagi tadi.
Gol tunggal bekas pemain United, Darron Gibson pada minit ke-60 sudah cukup untuk memberikan tiga mata penuh buat Everton pada aksi di laman sendiri, sekali gus memberikan kekalahan ketiga buat City musim ini.
United pula kembali merapatkan jurang mata dengan City apabila kemenangan ke atas Stoke di Old Trafford terhasil menerusi dua sepakan penalti setiap babak yang disudahkan Javier Hernandez (38) dan Dimitar Berbatov (53).
Tottenham pula terus kukuh di tangga ketiga dengan 49 mata selepas menewaskan Wigan 3-1 di laman sendiri hasil jaringan Gareth Bale (29, 64) dan Luka Modric (34) manakala gol saguhati Wigan dijaringkan James McArthur (80).
Pasukan di tangga keempat, Chelsea tercicir mata apabila sekadar seri 1-1 dengan Swansea di tempat lawan. Ketinggalan menerusi jaringan Scott Sinclair (39), mujur gol sendiri Neil Taylor (90) berjaya menyelamatkan Chelsea daripada pulang tangan kosong.
Sementara Liv erpool naik ke tangga kelima selepas meneruskan rentak cemerlang mereka, kali ini membelasah Wolves 3-0 pada aksi di tempat lawan hasil jaringan Andy Carroll (52), Craig Bellamy (61) dan Dirk Kuyt (78).
Awal pagi esok, lima lagi perlawanan bakal berlangsung – Aston Villa bertemu QPR (3.45pg) dituruti empat aksi dengan sepak mulanya jam 4 pagi – Blackburn bertemu Newcastle, Bolton bertemu Arsenal, Fulham bertemu West Brom dan Sunderland bertemu Norwich.
0 comments