Artis-Berita-Agama-Sukan-Teknologi-DLL

Powered by Blogger.

11:05 0

NIBONG TEBAL – Tiga lelaki geng pecah rumah mati ditembak polis dalam insiden berbalas tembakan di Km160, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berhampiran susur keluar ke Jawi, di sini awal pagi Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC II Zahrudin Abdullah berkata lelaki tempatan dan dua warga Indonesia berusia antara 30 dan 40 tahun itu aktif menjalankan kegiatan pecah rumah dan samun di sekitar negeri ini sejak tahun lepas.

Beliau berkata dengan tertumpasnya kumpulan yang memang dikehendaki itu, polis percaya berjaya menyelesaikan 56 kes pecah rumah di sekitar negeri ini.

Polis menemui sepucuk pistol, dua butir peluru dan dua butir kelongsong peluru di tempat kejadian dalam insiden kira-kira 1.30 pagi itu, katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini, Ahad.



Selain itu, katanya polis turut menemui pisau, tali, parang, topeng muka, sebatang besi, sarung tangan, keris, pisau lipat dan sebuah komputer riba dalam kereta yang dinaiki tiga lelaki itu.

Menurutnya pada awalnya polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah di laluan PLUS mendapat maklumat mengenai kumpulan berkenaan daripada sumber dan telah mengesan mereka.

“Polis berjaya mengesan kumpulan itu pada pukul 1.30 pagi di tol Juru menghala selatan dan kita mengekori mereka sebelum memintas kenderaan jenis Hyundai yang dinaiki mereka”.

Beliau berkata sebaik anggota polis mendekati kereta yang berhenti itu dan memperkenalkan diri sambil meminta tiga lelaki terbabit mengeluarkan dokumen pengenalan diri dan lesen memandu, seorang daripada penumpang belakang bertindak keluar dan melarikan diri ke arah semak berhampiran.

“Lelaki itu juga bertindak melepaskan dua das tembakan ke arah polis, manakala dua rakannya turut cuba melarikan diri. Bagaimanapun usaha mereka gagal kerana terkena tembakan daripada polis yang mempertahankan diri,” katanya.

Zahrudin berkata ketiga-tiga lelaki itu mati di tempat kejadian dan menurutnya warga Indonesia itu masuk ke Malaysia menggunakan pasport yang sah.

Beliau berkata polis sedang mengesan dua lagi anggota kumpulan berkenaan yang dipercayai masih berada di Pulau Pinang. – BERNAMA

0 comments

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

close button