KUALA LUMPUR – TV AlHijrah akan melancarkan sebuah program kemasyarakatan berjudul Cinta Masjid yang bertujuan mengimarahkan institusi masjid dan menjadikan masjid sebagai pusat perkembangan ilmu dan kegiatan masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Bukhari Che Muda berkata, program tersebut akan diadakan pada 4 dan 5 Februari ini bersempena sambutan Maulidur Rasul.“Masjid pertama yang dipilih untuk menjadi masjid pertama yang akan menerima kunjungan TV AlHijrah ialah Masjid Saidina Hamzah di Kampung Batu Muda Kuala Lumpur.
“Cinta Masjid bertujuan memperlihatkan masjid-masjid yang mempunyai keistimewaan tersendiri yang boleh dijadikan masjid contoh oleh masjid-masjid lain seluruh negara,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Bukhari seterusnya berkata, melalui program Cinta Masjid masyarakat dapat berkongsi fakta dan usaha menjadikan institusi masjid sebagai pusat ekonomi, pendidikan dan menghidupkan masjid seperti yang dituntut agama.
Menurut beliau, pelbagai aktiviti akan turut diadakan dalam program dua hari tersebut melibatkan kerjasama erat TV AlHijrah dan kariah serta jawatankuasa masjid .
Antaranya, kata beliau, siaran secara langsung program Kuala Lumpur Berselawat, Program Dikir Zikir, perarakan Maulidur Rasul, gotong royong bersih masjid, majlis penyembelihan lembu, kenduri bersama masyarakat, pertandingan azan dan mewarna kanak-kanak dan ceramah.
Program Cinta Masjid tidak ketinggalan memberi peluang kepada penduduk setempat mengenali dengan lebih dekat personaliti TV AlHijrah seperti Ustaz Don, Chef Iskandar, Wan Kamaruddin, Amin Idris, Shahrul Faizi, Irma Hasmie dan pemenang rancangan Solehah musim pertama, Amie Sofia.
0 comments