Artis-Berita-Agama-Sukan-Teknologi-DLL

Powered by Blogger.

23:52 0

JANJI Nisha Dir, 28, untuk menjaga nama baik dirinya dan keluarga di pegang sehingga ke hari ini. Meskipun dia agak kurang menonjol kerana jarang mendapat publisiti, Nisha tidak bimbang kerana rezeki berlakon terus ada. Dia juga antara artis yang tidak pernah terpalit dengan kontroversi.

Menjelaskan lagi sikap dan prinsip hidupnya, dia seorang yang ringkas dan berada dalam industri ini untuk mencari rezeki, bukannya mengejar populariti.

“Dari dulu lagi iaitu sejak awal saya menjadi pelakon pada penghujung 2003, saya berusaha untuk membendung gejala yang tidak sihat ini. Pernah juga ketika mula menceburi industri, saya ikut kawan-kawan berkunjung ke kelab tetapi hiruk-pikuk di sana bukanlah jiwa saya.
“Saya meminati semua jenis muzik tetapi jiwa saya lebih aman mendengar muzik menerusi radio ataupun CD,” katanya.




Di lokasi penggambaran pula, Nisha atau nama sebenarnya Nik Shahri’ah Nik Dir, kalau ia dilakukan di luar Kuala Lumpur, selepas habis penggambaran dia akan terus balik ke hotel dan kalau dibuat di Kuala Lumpur, dia akan balik ke rumah.




“Kecuali pada hari terakhir penggambaran yang mana biasanya produser atau pengarah akan mengajak semua pelakon dan kru keluar makan bagi meraikan

penggambaran yang sudah selesai, baru saya keluar bersama mereka,” katanya yang kini tinggal bersama adiknya di Kajang, Selangor.
Kepada peminat yang ingin menyaksikan lakonan terbaru Nisha, telefilem lakonannya yang berjudul Panah Asmara arahan Zulkifli M Osman akan disiarkan pada 24 Januari ini, di TV1, jam 9 malam.
Watak Nisha sebagai gadis bunian bernama Melati memberi cabaran baru kepadanya kerana dalam telefilem itu dia terpaksa membesarkan matanya, memakai kanta lekap dan tidak dibenar mengerlipkan mata.
“Ia untuk membezakan antara orang bunian dan orang biasa yang ‘masuk’ ke kampung orang bunian. Saya berusaha membesarkan mata selama yang boleh dan kalau dah tak boleh tahan, jurukamera akan fokus kepada pelakon lain yang sedang beraksi dengan saya.
“Watak Melati juga tidak dibenarkan menunjukkan ekspresi wajah sama ada sedih atau gembira. Apa pun situasi yang saya lalui dan rasa, wajah saya tidak boleh menunjukkan sebarang perasaan.
“Setiap kali saya memikirkan untuk menjiwai watak Melati, saya rasa sangat susah. Zulkifli banyak membantu saya kerana inilah kali pertama saya berlakon sebagai gadis bunian,” katanya.
Nisha akan menilai semula lakonannya sendiri selepas dia menontonnya dan dia akan perbaiki lagi corak lakonannya pada drama yang akan datang.
Panah Asmara meneroka kisah cinta antara dua dimensi iaitu alam zahir (alam manusia) dan alam dewa-dewi (alam jin/bunian/ghaib). Ceritanya mengenai pemuda bunian iaitu Putera, (lakonan Jehan Miskin) bercinta dengan jurufoto bebas, Adilla (Nora Danish). Bagaimanapun, Putera sudah menjadi milik Melati dan jika Adilla menerima cinta Putera dia terpaksa mengorbankan alam manusianya.
Kisah bermula apabila Adilla mendapat permit untuk menjelajah Hutan Belum dan merakamkan penemuan luar biasa yang terdapat dalam hutan itu. Semua gambar itu nanti akan dijual untuk tujuan pelancongan, perubatan dan sebagai karya seni foto.
Bagi melancarkan pekerjaannya itu, dia memilih anak tempatan iaitu Jamlus sebagai jurupandunya untuk masuk ke hutan. Mereka dibenarkan berada dalam hutan itu selama lapan jam saja.
Pada suatu hari, mereka terdengar gesekan buluh perindu lalu Jamlus dan Adilla nekad mencari puncanya. Ketika asyik mencari, mereka berdua terpisah. Adilla menemui rumah yang cantik dan seorang mak cik mempelawanya masuk. Mak cik itu memperkenalkan dirinya sebagai Dewi Angsana (Marissa Yasmin).



0 comments

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

close button