Artis-Berita-Agama-Sukan-Teknologi-DLL

Powered by Blogger.

17:18 0

Najib saksi MoU projek AS$12 bilion


NAJIB Tun Razak menyaksikan majlis menandatangani projek memperoleh semula minyak dipertingkatkan (EOR) di luar pesisir terbesar dunia berjumlah AS$12 bilion bagi tempoh 30 tahun antara Petronas dan Shell Malaysia di Putrajaya, semalam. Petronas diwakili oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shamsul Azhar Abbas (kiri) sementara Shell diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Royal Dutch Shell, Peter Voser (kanan). – BERNAMA



PUTRAJAYA, 16 Jan. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyaksikan majlis menandatangani projek memperoleh semula minyak dipertingkat (EOR) di luar pesisir terbesar di dunia berjumlah AS$12 bilion dalam tempoh 30 tahun antara Petronas dan Shell Malaysia.


Di bawah projek kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) bagi dua projek luar pesisir EOR di Sarawak dan Sabah, kedua-dua syarikat minyak itu akan membangunkan sembilan lapangan minyak di Delta Baram dan empat lapangan minyak di kawasan pembangunan Utara Sabah menggunakan EOR atau lain-lain teknologi berkaitan yang sesuai.


Najib berkata, projek itu dijangka menyaksikan beberapa faedah utama kepentingan negara termasuk dalam membina keupayaan tempatan dalam bidang teknologi khusus serta meningkatkan faktor penemuan purata di Delta Baram dan lapangan Utara Sabah daripada kira-kira 36 peratus kepada 50 peratus.


“Jika direalisasikan, teknologi itu juga akan dapat memanjangkan hayat lapangan untuk melepasi 2040,” kata beliau dalam ucapannya selepas majlis pemeteraian berkenaan.


Petronas Carigali (pengendali) mempunyai kepentingan 60 peratus dalam Baram Delta EOR PSC manakala Shell Malaysia, melalui Sarawak Shell, memegang baki 40 peratus.


Rakan kongsi memiliki kepentingan sama rata 50:50 di Utara Sabah EOR PSC, yang akan dikendalikan oleh Shell Malaysia, melalui Shell Sabah Selatan, dan komitmen kewangan mereka bagi kedua-dua projek EOR akan berjumlah AS$12 bilion dalam tempoh 30 tahun mulai Januari 2011.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pertonas, Datuk Shamsul Azhar Abbas menandatangani bagi pihak Petronas, manakala Shell diwakili oleh CEOnya, Peter Voser, manakala Petronas Carigali oleh Presidennya, Datuk Abdullah Karim.


Najib berkata, peningkatan dalam kecekapan pemulihan lapangan minyak dijangka memberi kesan positif kepada rizab minyak Malaysia dan akan memberi manfaat kepada negara secara keseluruhannya.


“Di samping itu, saya telah diberitahu bahawa jika berjaya, teknologi yang digunakan di lapangan Utara Sabah berpotensi membawa kepada projek EOR Polimer Surfaktan Alkali (ASP) luar pesisir pertama dunia menggunakan telaga mendatar,” kata beliau.


Perdana Menteri berkata, kerajaan komited ke arah merealisasikan agenda negara seperti yang dinyatakan dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP), untuk menjadikan Malaysia ekonomi berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.


Beliau berkata, sebagai sektor terbesar dalam ekonomi Malaysia, minyak, gas dan tenaga (OGE) adalah satu daripada Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) untuk memacu transformasi negara dalam merealisasikan matlamatnya.


Beliau berkata, kerajaan Malaysia telah mengenal pasti usaha mencergaskan semula lapangan sedia ada melalui EOR sebagai salah satu daripada 19 Projek Permulaan (EPP) untuk menyediakan bekalan tambahan untuk tenaga Malaysia dan keperluan industri serta menggalakkan pertumbuhan teratur sektor minyak dan gas.


Projek-projek EOR dijangka memperoleh lebih daripada 750 juta tong minyak daripada kedua-dua kawasan PSC yang menggunakan teknologi terkini.


Sementara itu, Shamsul dalam ucapannya berkata, Delta Baram dan Utara Sabah terletak dalam beberapa kelompok lapangan minyak terbesar di Malaysia dengan terdapat minyak masing-masing sebanyak 4.6 bilion tong dan 1.6 bilion tong.


“Setakat ini, kita telah menemui kira-kira 1.7 bilion stok tong melalui teknik-teknik pemulihan yang utama dan sekunder.


“Dengan pengenalan EOR, kami yakin dapat mengeluarkan sejumlah besar baki hidrokarbon. Ini akan membolehkan kami bukan sahaja untuk merealisasikan nilai tambahan daripada lapangan ini tetapi juga menyumbang kepada kemampanan pengeluaran minyak negara,” kata beliau. – BERNAMA


0 comments

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

close button