Artis-Berita-Agama-Sukan-Teknologi-DLL

Powered by Blogger.

21:35 0

SELEPAS mencipta kejayaan sebagai salah seorang nama besar dalam pentas lakonan drama, Fauzi Nawawi kini beralih angin mencipta nama sebagai pengarah filem.


Dalam perkembangan baru, pelakon terkenal dengan aksi lasak ini bakal mengarahkan filem sulungnya berjudul Pak Pong terbitan 9 Country Creativitiy Sdn Bhd.


Filem genre aksi komedi fiksyen ini karya terbaru garapannya sendiri menampilkan ramai pelakon serta pelawak berpengalaman.

Antara pelakon membarisi filem Pak Pong adalah Datuk Eizlan Yusof, Saiful Apek, Lisdawati, Marsha, Siti Saleha, Amber Chia, Syawal AF, Joey dan Fauzi sendiri bertindak sebagai pelakon dan pengarah.





Kata Fauzi, filem Pak Pong bertujuan mengangkat martabat dunia persilatan Melayu yang jarang ditonjolkan dalam pembikinan filem.





“Idea membuat filem ini hadir menerusi pengalaman dilalui sendiri di kampung dan cerita didengar daripada orang lain.

“Saya sebenarnya sedikit sedih kerana tidak banyak cerita dibuat bagi menyatupadukan masyarakat Melayu yang semakin berpecah sekarang.

“Lagipun filem aksi sekarang lebih banyak memaparkan aksi pertarungan ‘free-style’ tanpa sebarang aksi seni mempertahankan diri bernilai tinggi.

“Menerusi filem ini, saya berhasrat mengetengahkan sambil memperkenalkan semula seni persilatan kita yang semakin dilupakan generasi moden sekarang.

“Jika boleh, saya mahu menggabungkan pelbagai jenis silat terdapat di Malaysia untuk dikomersilkan dalam filem Pak Pong, “ katanya pada sidang akhbar dan pelancaran filem Pak Pong di Hotel Concorde, Shah Alam, Khamis lalu.

Hadir sama penerbit dan pengurus produksi filem Pak Pong, Raja Mohammad Mohd Ismail.

Filem Pak Pong dengan tema Bukan Kitab Sebarangan adalah filem pertama terbitan 9 Country Creativity Sdn Bhd yang sebelum ini lebih banyak menerbitkan drama televisyen seperti Kabir Hero Kabir Zero, Papaya, Ceplos dan Sebelum Akhirat.

Filem ini dijangka membabitkan kos sebanyak RM2 juta berbanding bajet asal RM1.3 juta. Ini disebabkan oleh penggunaan imej janaan komputer (CGI) yang tidak terdapat dalam perancangan.

Apa yang menarik, filem Pak Pong mengetengahkan muka baru sebagai watak utama, Hairul Azreen Idris yang sebelum ini sekadar memegang watak pelakon pembantu dalam Merah Putih.

Fauzi yang pernah memenangi anugerah ‘stuntman’ terbaik pada 2004, mengakui penggunaan CGI serta aksesori tambahan seperti pedang, parang dan aspek lain menyebabkan kos asal diperuntukkan untuk filem meningkat.

“Bagi menyesuaikan latar dimahukan seperti alam bunian, alam manusia biasa dan

suasana kampung, lokasi penggambaran membabitkan Hulu Langat, Shah Alam, Klang, Kuala Kangsar dan Thailand dalam tempoh 30 hingga 35 hari penggambaran.

“Penggunaan ahli silat dan aksi lasak filem ini juga menggunakan pesilat terlatih yang hebat dengan jurusan masing-masing bagi memberi impak dan keindahan seni silat dikete–ngahkan dengan lebih baik kepada penonton,” katanya yang akan berlakon sembilan babak dalam filem yang dijangka ditayangkan pada Mac 2013.

Mengenai kontroversi yang mungkin tercetus dalam filem terbabit kerana membabitkan alam bunian, kata Fauzi, dia ada memikirkan persepsi elemen seperti syirik, khurafat dan kepercayaan tertentu yang akan menimbulkan persoalan kepada masyarakat.

“Saya banyak membuat penyelidikan dan bertanya kepada orang yang lebih arif dalam bidang agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Lembaga Penapisan Filem (LPF) untuk mendapatkan garis panduan dan prosedur paling sesuai.

“Malah, saya turut mendapatkan pandangan beberapa pengarah berpengalaman dalam pengarahan filem seperti Ahmad Idham dan Yusry KRU yang banyak memberi dorongan dan yakin dengan kemampuan diri sendiri.

“Bagi saya, dengan faktor umur semakin meningkat sekarang, peluang untuk menerima lamaran berlakon semakin berkurangan, jadi saya perlu mencari inisiatif sendiri mencari peluang untuk terus kompetitif dalam layar seni. Jika saya muda, ceritanya mungkin lain ada orang sudi menawarkan watak untuk berlakon,” katanya.

Fauzi memberitahu pos produksi filem Pak Pong akan dilakukan di Chennai, India.

“Di sana ada lebih banyak pilihan,” katanya.




0 comments

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

close button