Artis-Berita-Agama-Sukan-Teknologi-DLL

Powered by Blogger.

17:18 0

Tahun Baru Cina: 1.4 juta kenderaan guna lebuh raya PLUS


17/01/2012 4:08pm


KUALA LUMPUR 17 Jan. - Syarikat konsesi Lebuhraya Utara Selatan, Plus Malaysia Sdn Bhd (PLUS), menganggarkan 1.4 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya kendaliannya sepanjang sambutan Tahun Baru Cina minggu depan.


Pengarah Urusan PLUS, Datuk Noorizah Abd Hamid berkata, angka itu adalah peningkatan kira—kira 30 peratus berbanding hari biasa iaitu 1.1 juta.


"Peningkatan sebanyak 30 peratus jumlah kenderaan ini akan bermula daripada Jumaat ini hingga 22 Jan juga pada 24 hingga 29 Jan iaitu sebelum dan selepas Tahun Baru Cina,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.


Justeru, beliau menasihatkan pengguna jalan raya agar mematuhi jadual perjalanan yang dikeluarkan syarikat itu menerusi Nasihat Waktu Perjalanan (TTA) yang dilancarkan hari ini bagi mengelakkan mereka terperangkap dalam kesesakan.


Berdasarkan jadual TTA yang disediakan, bermula Jumaat ini pengguna dari Lembah Klang yang menuju ke utara Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, serta Johor Baharu melalui Skudai, Senai Utara, Ayer Hitam, Yong Peng dan Tangkak disaran memulakan perjalanan sebelum 12 tengah hari.


Pengguna yang menuju ke Kuala Kangsar, Changkat Jering dan Taiping serta Melaka melalui Ayer Keroh pula boleh memulakan perjalanan mereka di antara pukul 12 tengah hari hingga 3 petang.


Bagi yang menghala ke Ipoh, Simpang Pulai dan Gopeng serta Tampin dan Alor Gajah melalui Simpang Ampat dicadangkan memulakan perjalanan di antara pukul 3 petang hingga 6 petang.


Bagi pengguna yang menghala ke Tapah, Bidor, Sungkai, Slim River dan Tanjung Malim serta Senawang, Port Dickson dan Seremban digalak menggunakan lebuh raya selepas pukul 6 petang.


Noorizah berkata, bagi perjalanan melalui Tambak Johor dan Linkedua, PLUS menyarankan perjalanan mengikut nombor pendaftaran kenderaan, iaitu bagi yang berakhir dengan nombor ganjil mereka memulakan perjalanan waktu ganjil iaitu 9 pagi, 1 petang dan 7 malam.


Bagi yang melalui Jambatan Pulau Pinang, untuk kenderaan bernombor pendaftaran yang berakhir dengan nombor genap boleh memulakan perjalanan di antara pukul 10 pagi, 2 petang dan 8 malam.


Untuk perjalanan pulang menuju ke Lembah Klang pada 24 hingga 29 Januari, pengguna dari utara dan selatan dicadang memulakan perjalanan sebelum 12 tengah hari atau selepas 6 petang, manakala bagi perjalanan lain yang tidak melalui Lembah Klang boleh memulakan perjalanan antara 12 tengah hari hingga 6 petang.


"Bagi semua perjalanan yang melalui Tambak Johor dan Linkedua serta perjalanan melalui Jambatan Pulau Pinang perlu mengikut jadual perjalanan pulang seperti jadual perjalanan pergi mereka iaitu berdasarkan nombor akhir bagi nombor pendaftaran kenderaan mereka,” katanya. — BERNAMA


0 comments

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

close button