Artis-Berita-Agama-Sukan-Teknologi-DLL

Powered by Blogger.

07:59 0


KUALA LIPIS - Jiran seorang wanita yang baru mendirikan rumah tangga enam bulan lalu, ditemui maut dibunuh di rumahnya di Kampung Sungai Gemang dekat sini, petang semalam, berkata dia tergamam dan tidak mampu berbuat apa-apa apabila melihat mayat mangsa, Nornadia Abu Bakar dalam keadaan tertiarap tanpa seurat benang.
Menurut Roslan Tahir, 43, lebih memilukan apabila melihat keadaan di dalam rumah mangsa, yang berusia 21 tahun, dipenuhi dengan percikkan darah yang memenuhi ruang tamu hingga ke dapur.
Menceritakan detik awal kejadian itu, Roslan berkata, dia mendapat panggilan telefon daripada penduduk kampung mengenai kejadian berkenaan.
“Setelah mendapat tahu kejadian berkenaan saya bergegas ke rumah mangsa dan melihat suami mangsa (Ahmad Khairu Ab Raman, 27) duduk meraung di seberang jalan sambil meratapi kematian isterinya.
“Saya kemudiannya bertindak menelefon polis dan beberapa orang kampung untuk melihat situasi di dalam rumah mangsa,” katanya kepada Sinar Harian.
Roslan berkata, ketika memasuki pintu depan rumah mangsa, dia dan beberapa penduduk kampung melihat darah melimpah di sekitar ruang tamu.
“Kami lihat darah dari ruang tamu sehingga ke dapur dan apabila menjenguk ke ruang berkenaan kami lihat mayat mangsa berada di dalam keadaan tertiarap tanpa seurat benang dan sebelah kaki mangsa terlipat.
“Saya tidak sanggup untuk melihat lebih lama mayat mangsa dan bertindak keluar rumah untuk menenteramkan suami mangsa,” katanya.
Roslan berkata, kejadian tragis berkenaan pertama kali berlaku di kampung berkenaan dan memberi kesan trauma kepadanya apabila melihat keadaan mayat mangsa.
Sementara itu, ibu Ahmad Khairu, Hamidah Hassan, 48, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan anaknya tentang kejadian yang menimpa menantunya.
“Dahulu kami tinggal di rumah ini tetapi setelah Ahmad Khairu berumah tangga dengan Nornadia, saya bersama suami bersepakat untuk berpindah ke Kelantan, manakala rumah ini dijaga olehnya (Ahmad Khairu).
“Ketika mendapat panggilan telefon berkenaan, saya jangka Ahmad Khairu berada dalam keadaan separuh sedar dan hanya mengatakan bahawa isterinya telah tiada,” katanya.
Hamidah berkata, dia sempat bertanya sama ada Nornadia terlibat dalam kemalangan atau tidak tetapi persoalan tersebut tidak dijawab oleh Ahmad Khairu dan hanya mendengar raungan dari telefon.
“Saya tidak menyangka kejadian ini berlaku pada menantu saya tambahan pula mereka baru beberapa bulan mendirikan rumah tangga.
“Walaupun sedih dengan kejadian berkenaan, namun kami sekeluarga pasrah dengan takdir dan menganggap peristiwa itu sebagai ujian dari ALLAH,” katanya.
Wanita baik
Bagi sepupu kepada Nornadia, Noraini Hayati, 25, berkata, walaupun mereka jarang berjumpa namun arwah disifatkan sebagai seorang yang baik dan pendiam.
“Allahyarham merupakan anak bongsu dari enam beradik. Dia juga manja de-ngan keluarga dan bersifat ramah dengan orang yang rapat dengannya.
“Saya berharap agar pembunuh kejadian ini dapat ditangkap dengan segera dan nasib Allahyarham dapat dibela,” katanya.
Mangsa dikelar, ditikam
Dalam pada itu, polis mengesahkan mangsa maut akibat kecederaan parah di leher dan perut.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Abdul Razak Hassan berkata, mangsa maut akibat dikelar di leher dan di tikam bertubi-tubi di perut menggunakan senjata tajam.
“Polis bergegas ke tempat kejadian setelah menerima panggilan telefon daripada orang ramai kira-kira jam 5.50 petang.
“Mangsa ditemui tanpa pakaian dan berlumuran darah di bahagian dapur rumahnya. Selain itu, terdapat kecederaan parah yang dialami oleh mangsa di bahagian perut dan leher yang menyebabkan kematian,” katanya.
Abdul Razak berkata, tiada kesan rogol ditemui pada badan mangsa dan pihak hospital mengesahkan mangsa tidak mengandung.
“Sehingga kini kami masih menjalankan siasatan bagi mencari senjata yang digunakan untuk membunuh mangsa dan motif pembunuhan daripada pelbagai aspek.
“Selain itu, empat suspek turut ditahan reman bagi membantu siasatan,” katanya.
Abdul Razak berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan orang ramai yang tahu mengenai kejadian berkenaan diminta tampil bagi membantu siasatan.
“Kita juga berharap jiran tetangga peka dengan keadaan sekitar dan bersedia membantu sekiranya terdengar jeritan atau bunyi pelik datang dari kawasan kejiranan.
“Selain itu, rondaan daripada anggota Rela dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) perlu diperhebat agar kejadian jenayah dapat dibendung di kawasan masing-masing,” katanya.

0 comments

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

close button