Artis-Berita-Agama-Sukan-Teknologi-DLL

Powered by Blogger.

21:31 0

BENARLAH kata pepatah, ikan di laut, asam di darat, dalam periuk bertemu jua. Kalau sudah ditakdirkan jodoh tidak ke mana.

Siapa sangka, pertemuan pertama, pengacara terkenal TV3, Ally Iskandar Mohd Mardzi, 36, dan isteri, Nurfarahin Romli, 23, pada majlis berbuka puasa 20 Ogos tahun lalu di sebuah restoran di Kuala Terengganu membibitkan rasa cinta sebelum mereka mengambil keputusan menamatkan zaman bujang.

Selepas lima bulan mengenali hati budi masing-masing, pasangan ini akhirnya disatukan sebagai suami isteri pada 20 Januari lalu di Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu tepat jam 10.03 pagi.
Dalam majlis bertemakan merah jambu dan ungu itu, Ally yang segak mengenakan persalinan baju Melayu putih kelihatan tenang ketika dinikahkan jurunikah Mohd Abu Bakar dengan mas kahwin RM250.





Dengan dua kali lafaz, Nurfarahin yang juga penuntut tahun akhir jurusan Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Incheon, Korea Selatan sah menjadi milik Ally.




Pada majlis itu, pihak lelaki menerima sembilan dulang hantaran daripada pihak perempuan termasuk bunga rampai, i-Phone, kemeja, jubah, sejadah, baju Melayu, senaskhah al-Quran, manisan serta coklat manakala pengantin perempuan pula menerima balasan tujuh dulang hantaran antaranya sirih junjung, telekung, sejadah, sebentuk cincin, mas kahwin, kunci rumah, coklat, manisan, komputer riba Apple dan senaskhah al-Quran.
Bagaimanapun, Nurfarahin tidak menerima wang hantaran daripada pihak lelaki, sebaliknya dihadiahkan sebuah rumah dibeli Ally di Damansara, Kuala Lumpur.
Dianggarkan, lebih 500 tetamu hadir memeriahkan majlis berkenaan dengan wakil pengantin perempuan mengenakan pakaian sedondon warna kelabu manakala persalinan hijau bagi pihak lelaki.
Sementara itu, Ally yang ditemui selepas majlis pernikahannya melahirkan rasa syukur kerana semua yang dirancang berjalan lancar.
“Saya bersyukur kerana dipertemukan dengan isteri. Keayuan wajah dan pendirian tegasnya dalam sebarang keputusan dibuat antara sebab saya tertarik dengannya.
“Walaupun berbeza usia 13 tahun, ia bukan satu masalah besar kerana apa yang penting, kami faham dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing serta berusaha memahami antara satu sama lain,” katanya yang mengharapkan perkahwinan dibinanya bersama isteri tercinta berkekalan hingga ke akhir hayat.
Ketika ditanya mengenai percintaan mereka, Ally berkata, tiada istilah bercinta antara mereka dan tidak pernah melafazkan ungkapan ‘I love you’ kepada isterinya.
“Ia berlaku secara kebetulan. Sebelum ini, saya pernah menyuarakan hasrat kepada keluarga untuk menamatkan zaman bujang manakala isteri pula ingin berkahwin ketika dia masih menuntut.
“Malah, kami bertemu melalui pertemuan yang dirancang adik yang juga rakan Nurfarahin sebelum saya mengambil keputusan untuk berkahwin dengannya,” katanya.
Menyingkap semula perkenalan mereka, Nurfarahin yang lebih dikenali sebagai Farah Lee di kalangan rakannya berkata, pertemuan pertamanya dengan suami dirancang adik lelaki Ally, Izwan, 22, yang juga sahabat baiknya sejak belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu.
“Pada mulanya, saya keberatan tetapi bersetuju selepas ibu bapa, keluarga dan rakan-rakan memujuk.
“Saya memang berkawan baik dengan adik suami, tetapi sebelum ini tidak pernah kisah walaupun tahu suami pengacara TV3, sehinggalah sahabat saya itu bersungguh-sungguh mengajak kami bertemu dan tanpa disangka kami jatuh cinta pandang pertama.
“Saya menerima lamarannya bukan kerana dia selebriti terkenal tetapi kerana sikapnya yang menghormati orang tua. Ketika itu, terdetik di hati, dia adalah orang dicari menyebabkan saya tidak teragak-agak menerima lamarannya kerana yakin dia bukan saja menyayangi malah boleh membimbing saya,” katanya yang kelihatan cantik mengenakan gaun berwarna putih.
Ketika ditanya mengenai keputusannya menamatkan zaman bujang pada usia muda, Nurfarahin berkata, usia bukan penghalang kerana ibunya, Norashikin Abdullah, 49, juga berkahwin pada usia 19 tahun dan berbeza usia 13 tahun dengan ayahnya, Romli Ismail, 60.
Katanya, sememangnya dia berhasrat ingin berkahwin ketika masih menuntut dan muda kerana melihat perkahwinan itu dapat menjaga maruah seorang wanita dan membimbingnya supaya tidak tersasar jauh.
“Mengenai pekerjaan suami, saya akan melakukan yang terbaik untuk memahami dan menyesuaikan diri dengan kerjanya yang dikenali ramai,” katanya.
Mengenai destinasi bulan madu, Ally berkata, mereka belum memilih sebarang lokasi memandangkan isterinya masih menuntut.
Menurutnya, dia akan ke Korea Selatan selama enam hari pada awal Mac depan untuk menghantar isterinya yang akan menyambung pengajian tahun akhir di negara berkenaan.
“Ia ibarat bulan madu singkat buat kami sebelum terpaksa berpisah sementara. Nampaknya, selepas ini saya perlu mengumpul wang untuk melawat isteri sepanjang dia berada di sana kelak,” katanya dalam nada bergurau.
Mengenai bilangan cahaya mata, Ally berkata, dia sebolehnya menginginkan cahaya mata seramai yang boleh bagi memeriahkan lagi rumah tangga mereka.
“Semua itu adalah ketentuan-Nya dan saya yakin Allah akan memberikan kami zuriat apabila kami sudah bersedia.
“Jika ditanya mengenai masakan isteri, saya hanya berkesempatan menikmati masakan kimbap tetapi saya dimaklumkan isteri pandai memasak dan jika badan saya naik, salahkan dia,” katanya yang sempat mengusik Nurfarahin yang berada di sebelahnya.
Dalam pada itu, majlis kesyukuran di rumah pengantin perempuan di Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu petang Jumaat lalu berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 1,000 tetamu.
Majlis resepsi pihak lelaki akan diadakan di Kuala Terengganu Golf Resort, Tok Jembal, Kuala Terengganu, 5 Februari depan.



0 comments

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

close button