Artis-Berita-Agama-Sukan-Teknologi-DLL

Powered by Blogger.

23:38 0


LEGENDA badminton negara Datuk Punch Gunalan mahu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menjadikan kealpaan menyediakan pasukan mantap ke Piala Thomas sebagai satu pengajaran besar dengan menghasilkan sekelompok pemain beregu yang kuat, bukan hanya menumpukan perhatian kepada gandingan utama Koo Kien Keat-Tan Boon Heong semata-mata.

Beliau mengaku misi perburuan emas Sukan Olimpik London adalah misi negara tetapi BAM tidak boleh menjadikan alasan fokus kepada saingan di temasya sukan terulung dunia itu sehingga ‘mengeram’ pemain muda dengan memberi beberapa kejohanan sebagai pendedahan.



“Kalau kita ada pemain baru berusia 18 tahun, tidak salah diberi pendedahan maksimum kerana merekalah yang akan menggalas cabaran di masa akan datang,” kata Gunalan yang pernah menjuarai Seluruh England, Terbuka Amerika Syarikat (AS) dan Kanada suatu ketika dulu.


“Pemain remaja yang baru naik adalah usia terbaik untuk diberi pendedahan besar kerana mereka paling memerlukan kejohanan kompetitif. Tewas ketika usia muda bukan sesuatu yang perlu dibimbangi. Pada usia semuda inilah mudah untuk persatuan membentuk keperibadian dan juga disiplin.



“Mereka belum tahu erti berfoya-foya. Kalau ada bakat pada usia 12 hingga 15 tahun juga lebih baik dipercepatkan pendedahan mereka di peringkat senior kerana inilah tren masa kini, lebih cepat pemain matang lebih baik.” Gunalan tidak pernah menjuarai Piala Thomas ketika bergelar pemain tapi jika ada pihak mempersoalkan kredibilitinya berbicara mengenai Piala Thomas, perlu diingat dia menjulang trofi itu ketika bergelar jurulatih pada edisi 1992, tahun terakhir Malaysia memenangi trofi kejohanan berpasukan paling berprestij.



Malah Gunalan pernah muncul juara di Sukan Sea, Komanwel dan Asia dalam acara perseorangan dan juga beregu.


Justeru, gesaan beliau supaya tidak terlalu ‘memanjakan’ Kien Keat-Boon Heong tentu ada benarnya kerana dalam kem negara ketika ini ada ramai pemain beregu berbakat dan mencipta kejayaan besar di peringkat remaja tetapi BAM sering ‘mengeram’ mereka dalam tempoh dua atau tiga tahun.



Lihat saja juara remaja dunia 2008 Mak Hee Chun-Teo Kok Siang, di mana kedudukan mereka sekarang. Kedua-duanya dipisahkan malah bersilih ganti pasangan kerana ada pihak mengatakan masih dalam peringkat cubaan mencari gandingan terbaik sedangkan Chai Biao dari China yang muncul naib juara remaja di belakang pasangan muda negara itu, kini di ranking nombor lima dunia dan sudah boleh dianggap mengesahkan tempat ke Olimpik London.


Chai Biao yang bergandingan dengan Qiu Zihan ketika remaja kini berganding pula dengan Guo Zhendong. Hee Chun yang kini digandingkan dengan Ong Soon Hock berada di ranking ke-61 dunia manakala bagi Kok Siang, entah berapa helaian muka surat laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF) perlu dibuka baru ditemui.



Situasi sama juga dihadapi Ow Yao Han yang muncul juara remaja dunia edisi 2010 bersama Yew Hong Kheng. Dia yang lebih dulu dinaikkan ke skuad senior di BAM masih belum dapat gandingan sebenar kerana sering ditukar-tukar.



Lihat saja di mana kedudukan Saina Nehwal dan Wang Zhengming yang muncul juara pada edisi 2009 bersama Hee Chun-Kok Siang.



Saina kini di nombor empat dunia kerana diberi peluang beraksi di peringkat senior lebih awal. Mungkin India menggunakan prinsip alang-alang tiada pemain senior yang bagus, beri saja pendedahan secukupnya kepada pemain berbakat meskipun masih diusia remaja.



Namun apa pula bezanya dengan Zhengming dari China yang sememangnya terkenal dengan lebihan pemain berbakat.



Pemain ini tetap diberi peluang beraksi di pentas senior hingga beroleh keyakinan dan kemajuan dalam permainannya dan tidak salah jika kedua-dua kes badminton India dan China ini menjadi acuan dalam badminton negara sebagaimana cadangan Gunalan, beri pendedahan kepada pemain muda kerana pemain senior bukan untuk didedahkan lagi tetapi menuai hasilnya.



0 comments

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

close button