Artis-Berita-Agama-Sukan-Teknologi-DLL

Powered by Blogger.

12:57 0

KUALA LUMPUR – Sejak sekian lama, laluan di kawasan pembalakan yang telah ditinggalkan serta berlumpur antara Long Luping dan Ba’Kelalan di Lawas, Sarawak, menjadi penghubung utama penduduknya dengan dunia luar, selain perkhidmatan penerbangan empat kali seminggu yang dikendalikan MASWings.

Perjalanan melalui laluan di kawasan pembalakan ini untuk ke Ba’Kelalan, yang terletak di kawasan tanah tinggi bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia, boleh menjadi sangat mencabar dan merbahaya berdasarkan keadaannya yang amat mendukacitakan.

Bagaimanapun, sejak akhir tahun lepas, keadaan ini berubah secara mendadak berikutan langkah menaik taraf laluan tersebut, yang dimulakan pada 2009 sebagai sebahagian daripada usaha membantu masyarakat luar bandar.



Jika sebelum ini perjalanan ke Ba’Kelalan dari Lawas mengambil masa lapan jam hingga dua hari, bergantung kepada keadaan cuaca, kini pelancong atau pengembara boleh sampai ke destinasi mereka dalam masa tiga hingga empat jam.

Bekas laluan sepanjang 70 kilometer di kawasan pembalakan itu, yang kadangkala sukar dilalui apabila terlalu becak selepas hujan lebat, kini dinaik taraf menerusi peruntukan sebanyak RM52 juta daripada Kerajaan Persekutuan.

Kerja-Kerja penambahbaikan yang baru selesai itu, termasuk membina jalan masuk ke beberapa kampung serta sepuluh jambatan baru, dilaksanakan Rejimen Askar Jurutera Diraja Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui teknologi penstabilan tanah di bawah projek ‘Jiwa Murni’.

Bagi menunjukkan penghargaan mereka, kira-kira 30 pemimpin masyarakat dan kampung dari Ba’Kelalan dan Bario, baru-baru ini sanggup meninggalkan kawasan tanah tinggi itu untuk ke Putrajaya melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mengucapkan terima kasih kepada beliau secara peribadi kerana menaik taraf jalan tersebut.

Apa yang menarik mengenai projek ini ialah ATM berjaya membina jalan sejauh 75 kilometer itu dengan hanya RM52 juta, menyaksikan pengurangan sebanyak 75 peratus daripada jumlah yang dianggar iaitu RM250 juta, jika ia dilaksanakan melalui kontrak konvensional.

Beberapa hari selepas mengangkat sumpah, Perdana Menteri menghantar setiausaha politiknya, Datuk Shahlan Ismail, ke Ba’Kelalan untuk meninjau keperluan penduduk di situ dan memberikan cadangan dalam usaha membantu mereka.

“Beliau pulang membawa gambar-gambar yang agak menakutkan berkaitan keadaan jalan itu, dan jika ingin diselesaikan melalui konsep konvensional, ia akan mengambil masa yang agak lama. Itulah sebabnya mengapa kita memutuskan bahawa satu konsep baru diperlukan,” kata Najib.

Sememangnya kesan projek itu begitu besar kerana penduduk kini menikmati kos pengangkutan yang lebih rendah selain harga barangan keperluan harian juga lebih murah.

“Saya dimaklumkan harga setin minuman ringan sebelum ini ialah RM3, kini ia berharga RM2, manakala gas silinder yang dahulunya dijual pada harga RM60, kini hanya RM45 di Ba’Kelalan,” kata Najib.

Penduduk Ba’Kelalan juga ternyata amat gembira selepas jalan itu siap dibina.

Seperti kata Sandra Munga Tagal dalam suratnya kepada akhbar tempatan dan laman blog, Jalan Long Luping-Ba Kelalan yang sudah siap dibina itu membolehkan ramai penduduk asal kembali ke kawasan tanah tinggi tersebut pada perayaan Hari Natal lepas.

Dengan cuti terhad dan keadaan laluan ke Ba’Kelalan sebelum ini, Munga berkata amat sukar untuk mereka yang berhasrat menghabiskan masa cuti bersama keluarga yang tinggal di kawasan terpencil itu.

Bagaimanapun, pada sambutan Hari Natal lepas, ramai penduduk pulang dengan kenderaan masing-masing dari seluruh pelusuk Sarawak.

“Tahun ini, kami menikmati perhimpunan terbesar ketika menyambut Hari Natal dalam sejarah hidup kami kerana hampir semua orang memandu kenderaan masing-masing untuk pulang ke Ba’Kelalan.

“Mereka yang pulang ke Long Semadoh dan Ba’Kelalan untuk meraikan Hari Natal, sanggup memandu dari tempat sejauh Kuching (lebih 1,000 kilometer), Bintulu, Miri, Brunei dan Kota Kinabalu, sekaligus menggembirakan ibu bapa mereka,” tulis Munga dalam blog berkenaan.

Beliau berkata untuk mendapatkan tempat duduk dalam MASWings (Perkhidmatan Udara bagi Kawasan Luar Bandar yang disediakan anak syarikat Malaysia Airlines) pada musim perayaan adalah terlalu sukar kerana bilangannya adalah terhad, iaitu 19 tempat duduk dalam pesawat Twin-Otter.

Bagaimanapun, apabila Jalan Long Luping-Ba’Kelalan siap dibina, ramai yang meraikan Hari Natal di kampung bersama ibu bapa dan keluarga mereka.

“Terima kasih PM (Perdana Menteri), untuk semua yang telah anda lakukan, dan oh, untuk senyuman yang terhasil di semua muka berkedut itu. Anda juga patut melihat kegembiraan yang terpancar pada mata di muka-muka kecil yang mulus itu,” katanya. – BERNAMA

0 comments

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

close button