Artis-Berita-Agama-Sukan-Teknologi-DLL

Powered by Blogger.

23:31 0

MANCHESTER: Kenny Dalglish mahu pemain Liverpool segera bangkit menjelang minggu penuh getir apabila mengharungi dua perlawanan Piala Liga dan Piala FA yang bakal menentukan nasib mereka musim ini.

Selepas ketinggalan enam mata di belakang pasukan di tangga keempat bagi slot Liga Juara-Juara musim depan berikutan kekalahan mengejut di tangan Bolton minggu lalu, Dalglish akan membuat perhitungan dengan musuh tradisi, Manchester United, Sabtu ini.



Perlawanan pusingan keempat Piala FA itu menjadi pertemuan pertama kedua-dua pasukan sejak Luis Suarez digantung lapan perlawanan kerana memaki hamun pertahanan United dari Perancis, Patrice Evra dengan kata-kata berbaur perkauman dalam perlawanan liga 15 Oktober lalu.


Namun sebelum itu, tumpuan Liverpool akan terarah kepada perlawanan separuh akhir kedua Piala Liga menentang Manchester City di Anfield awal pagi esok dengan kelebihan agregat 1-0.



Selepas enam tahun tanpa sebarang kejuaraan utama, Dalglish menyedari Liverpool tidak boleh mempamerkan aksi buruk menentang pendahulu Liga Perdana itu terutama selepas pasukannya tewas kepada Bolton.



Pengurus Liverpool itu mengaku perlawanan Piala Liga ini menjadi agenda utama anak buahnya namun Dalglish menegaskan beliau tidak akan bertolak ansur dengan prestasi buruk anak buahnya.


“Sepanjang musim ini kami puas hati dengan kerja keras pemain tapi saya tidak fikir mereka beraksi baik Sabtu lalu,” kata Dalglish. “Pendekatan mereka terhadap perlawanan itu sangat teruk.



“Jika bangga beraksi buat kelab ini, pemain perlu berusaha keras. Saya tidak tahu dari mana datangnya sikap buruk itu namun saya mahu ia dibuang dengan segera.


“Saya tidak pasti mereka memberi perhatian kepada dua perlawanan akan datang namun setiap perlawanan penting bagi kami.



“Jika mahu meraih kejayaan bersama kelab ini, mereka perlu hormati setiap lawan. Kami kini fokus kepada perlawanan menentang City. Kami perlu menyelesaikan masalah kami.” Dalglish dijangka membuat beberapa pertukaran dengan pemain sayap, Stewart Downing dan Dirk Kuyt bakal diturunkan dalam kesebelasan utama.



Gol penalti Steven Gerrard pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Etihad dua minggu lalu menjadi pemisah kedua-dua pasukan.



Bagaimanapun ketika Liverpool memerlukan suntikan semangat, City bertandang ke Anfield dengan kemenangan dramatik 3-2 ke atas pencabar kejuaraan, Tottenham bagi mengekalkan kelebihan tiga mata di puncak Liga Perdana.



Namun pengurus Roberto Mancini yang berusaha membimbing City meraih trofi kedua dalam sembilan bulan selepas kejayaan Piala FA musim lalu berdepan masalah tersendiri apabila penyerang Mario Balotteli berkemungkinan didakwa sekali lagi.



Penyerang Itali itu menimbulkan kemarahan pengurus Tottenham, Harry Redknapp selepas dia menyepak kepala pemain tengah Scott Parker.



Pengadil, Howard Webb tidak menyedari insiden itu namun jika beliau merujuk perkara itu ke Persatuan Bola Sepak Inggeris, Balotelli yang dibuang padang ketika seri 1-1 dengan Liverpool dalam perlawanan liga 27 November lalu akan digantung empat perlawanan.



Jika bersalah, dia tidak akan diturunkan pada pertemuan Piala Liga di Anfield awal pagi esok. - AFP



0 comments

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

close button