Kerajaan Sahkan ‘Bunyi Aneh Dari Langit’ Hasil Aktiviti KilangSawit!
PUTRAJAYA – Jawatankuasa Siasatan Ngauman Langit yang ditubuhkan kerajaan (Sky Roar) mempercayai kejadian ‘bunyi aneh dan menakutkan’ dari langit yang kedengaran di Kota Samarahan, Sarawak pada 11 dan 12 Januari lalu berpunca daripada aktiviti kilang sawit milik FELCRA di Kampung Endap, Kota Samarahan, Sarawak.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof berkata, jawatankuasa siasatan yang diwujudkan di bawah Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) itu telah melakukan siasatan dan mendapati beberapa andaian penduduk tentang insiden itu sebelum ini tidak mempunyai asas dan kaitan langsung dengan peristiwa itu.
“Antara andaian oleh penduduk setempat ialah mengaitkan bunyi ngauman tersebut dengan kejadian gempa bumi di Sumatra dan High Frequancy Active Auroral Research Programme(HAARP) yang dijalankan oleh kerajaan Amerika Syarikat. Namun begitu, siasatan jawatankuasa itu mendapati kedua-dua andaian tersebut tidak mempunyai asas dan kaitan langsung dengan bunyi ngauman tersebut,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.









