TANPA sekalipun beraksi dalam kempen Liga Super musim ini, penyerang import Selangor dari Congo, Lelo Mbele sudah ditunjukkan jalan keluar oleh majikannya itu yang tampak tidak lagi boleh bersabar menantikan aksi terbaiknya.
Mbele, 24, yang pada mulanya diharap dapat membantu masalah jentera serangan Gergasi Merah selepas prestasi hambar musim lalu gagal meyakinkan jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim dan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) biarpun dia kembali pulih selepas pembedahan paha kiri.
Menurut Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Mohd Amin, pihaknya membuat keputusan menamatkan kontrak Mbele dan kini sedang mengintai pemain terbaik menggantikan tempat pemain itu.
“Kontrak Mbele sudah ditamatkan dan kami akan mencari pemain import baru untuk menggantikannya. Keputusan ini dibuat kerana tahap kecergasannya yang tidak memuaskan
.
“Buat masa ini kami sudah menyenaraikan empat hingga lima pemain dari Afrika dan Eropah untuk dipanggil bagi menjalani ujian pemilihan minggu ini. Kami harap akan dapat mencari pemain baru sebelum tarikh pendaftaran pemain import ditutup pada 13 Februari depan,” katanya.
FAS sebelum ini tetap bersungguh-sungguh menawarkan kontrak kepada Mbele yang pernah bersama kelab Arab Saudi, Al-Hilal dan kelab Afrika Selatan, Orlando Pirates biarpun mengetahui dia mendapat kecederaan serius ketika mewakili Al-Nasr Benganzi musim lalu.
Ternyata harapan tinggi FAS kepada Mbele akhirnya lebur begitu saja apabila pemain itu tidak dapat beraksi pada awal kempen musim ini yang menyaksikan Selangor menghuni tangga kelapan liga selepas empat perlawanan dengan memungut lima mata.
Bagaimanapun Hamidin menegaskan faktor ketiadaan pemain import yang berkualiti dalam skuadnya selain pemain pertahanan Lubnan, Ramez Dayoub bukan satu alasan kerana mereka memiliki barisan pemain tempatan terbaik.
“Saya sudah memberi kata dua kepada pemain supaya bangkit memperbaiki persembahan kerana kami meraih dua keputusan kurang memberangsangkan dalam dua perlawanan terakhir. “Pemain seperti Safiq Rahim, Amirul Hadi (Zainal) dan Amri (Yahyah) tidak mempamerkan kemampuan sebenar dan mereka perlu bangkit,” katanya.
0 comments